Kekejaman komunis: Tok Imam dan bilal dipaksa makan daging babi sebelum ditembak mati.
Tok Imam dan bilal surau dipaksa makan daging babi panggang sebelum mereka ditembak... Warga emas dan kanak-kanak dicampak ke dalam api yang sedang marak....
Ia antara enam karikatur kontroversi oleh pelukis Hamzah Mohd Amin yang memaparkan kekejaman komunis ke atas orang ramai.
Karikatur itu pernah disiarkan di akhbar milik Utusan Malaysia.
Menurut edisi cetak dan juga online - akhbar itu melaporkan Hamzah, 71, datang ke pejabat Utusan bagi menyerahkan sendiri karikatur yang dilukisnya itu.
"Generasi hari ini tidak mengetahui penderitaan hidup pada zaman komunis, jadi saya berusaha menghasilkan lukisan ini beberapa minggu lalu supaya mereka mendapat gambaran tentang kekejaman komunis dan mengapa kami sangat bencikan mereka.
"Generasi muda hanya mendengar cerita daripada datuk dan nenek mereka tetapi tidak pernah terbayang bagaimana komunis menyeksa tahanan. Menerusi lukisan ini, saya harap mereka akan sedar tentang kekejaman komunis dan menjadikannya pengajaran," katanya kepada akhbar itu.
Antara lukisan yang dianggap paling kontroversial ialah paparan beberapa lelaki yang bermata sepet dan memakai uniform keperangan mengacukan pistol serta memaksa tok imam dan bilal surau memakan babi panggang.
Hamzah turut memberi gambaran tindakan komunis mengurung ahli keluarga tahanan di sebuah rumah dan kemudiannya membakar rumah berkenaan.
Dia juga menggambarkan mayat-mayat tahanan itu dijadikan baja di kebun sayuran dan hasilnya pula dijadikan bekalan makanan kumpulan pengganas tersebut.
Utusan juga memetik Hamzah berkata lukisan tersebut dihasilkan bertujuan memberi gambaran keadaan sebenar kekejaman komunis terhadap rakyat negara ini.
Katanya, walaupun telah menjangkau usia 71 tahun, dia masih tidak dapat melupakan keganasan yang dilakukan oleh pengganas komunis terhadap rakyat dan mahu generasi pada hari ini juga mengetahui perkara itu.
Menurut Hamzah yang berasal dari Batu Pahat, Johor, dia terpanggil untuk menghasilkan karikatur berkenaan kerana geram serta kecewa apabila ada pihak tidak bertanggungjawab cuba mengangkat kumpulan pengganas tersebut sebagai hero.
"Saya sangat geram dan marah apabila komunis diberikan pengiktirafan. Mereka telah melakukan pelbagai kekejaman termasuk mengoyak, memijak, melumur kitab suci al-Quran dengan najis sebelum membakarnya. Para imam serta bilal di masjid dan surau pula dipaksa memakan daging babi sebelum dibunuh.
"Bagaimana kumpulan pengganas tersebut boleh kita iktiraf?" katanya dipetik akhbar itu lagi.
Hamzah pernah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai pelukis dan beliau pernah mencipta logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang digunakan pada 1963 sehingga 1997
No comments:
Post a Comment