SHAH ALAM: Dakwaan pembangkang kononnya berlaku penipuan semasa proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) Mei lalu, telah dinafikan oleh pemimpin parti komponennya.
Sekaligus membuktikan ketelusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam menjalankan tugas mereka, demikian menurut Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar.
Beliau menjelaskan sistem daftar pemilih yang dikendalikan SPR adalah telus dan tegasnya tiada ruang bagi warga asing didaftarkan sebagai pengundi di negara ini.
"Ini terbuktilah semua penjelasan dan penafian dibuat oleh SPR sebelum dan selepas PRU-13 adalah benar. SPR bercakap berasaskan fakta. Sekarang dah terbukti dan sebelum Ong Kian Ming komen tentang perkara ini, saya dah kata ia mustahil warga asing dapat mendaftar sebagai pengundi.
"Apa yang dikatakan pembangkang tentang 40,000 warga asing ia sebagai dakyah politik untuk menimbulkan kemarahan rakyat. Mereka tentu marah dengar orang luar mengundi. Matlamat mereka nak menimbulkan kemarahan," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
Memetik laporan portal Free Malaysia Today, Pemikir Strategi DAP Ong Kian Ming menafikan kewujudan pengundi hantu warga Bangladesh dan insiden bekalan elektrik terputus di kawasan pilihan rayanya Serdang dan Temerloh sebagaimana yang didakwa pembangkang pada pilihan raya lalu.
Ong juga bersetuju dengan penafian Pemantau Pilihan Raya (Pemantau) yang ditugaskan menyiasat tuduhan berkenaan, namun dalam masa yang sama memberitahu DAP masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung hal itu.
Malah ia juga turut diakui oleh seorang pemimpin PAS yang tidak mahu identitinya didedahkan.
Mengulas lanjut, Wan Omar berkata fitnah dan tuduhan yang ditimbulkan pihak pembangkang bertujuan membangkitkan kemarahan rakyat agar sokongan beralih kepada mereka.
SPR tegasnya tidak mencampuri urusan politik mana-mana parti di negara ini dan fitnah tersebut hanya mahu memburukkan imej badan bebas berkenaan.
"Marah akan bertukar kepada pembangkang. Itu matlamat mereka. Jadi permainan politik itu adalah kotor dengan menggunakan fitnah untuk memancing undi. Itu kita perkatakan dari dulu. Mereka berkempen guna firnah dan mereka fitnah untuk memancing undi untuk menimbulkan kemarahan rakyat," jelas beliau.
Penganalisis politik, Prof Dr Jayum Anak Jawan apabila diminta mengulas hal yang sama mengatakan pembangkang kini perlu menumpukan perhatian kepada hal-hal rakyat dan negara setelah dipilih pada PRU-13 lalu.
Beliau meminta masyarakat di negara ini dapat berfikir secara matang untuk menilai kebenaran sesuatu isu yang sengaja dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu.
"Hal pilihan raya dah lepas, bila kita menuduh, kita mesti ada bukti. Dulu tak perlu bukti sebab kita nak pengaruh pemikiran pengundi dalam masa singkat. Sekarang jika nak katakan ada pengundi hantu kita perlu tunjuk bukti. Itu yang masalahnya sekarang.
"Hal itu sudah berlalu. Jika kita nak lihat integriti dan keberkesanan masing-masing, kita kena lihat apa yang mereka buat sebagai wakil rakyat. Isu dah berlalu dan kalau kita fokus pun tak guna juga. Sekarang mereka dah menang dengan membangkitkan perkara seperti itu tapi kita kena lihat apa yang mereka lihat semasa perbahasan di parlimen yang akan menonjolkan kematangan dan keberkesanan proses demokrasi. Itu yang lebih penting sekarang," demikian kata Jayum.
Pemantau sebelum ini menjelaskan tiada sebarang bukti berlakunya penyelewengan pilihan raya seperti kewujudan pengundi hantu di 87 kerusi perlimen dan bekalan eletrik terputus seperti yang diperkatakan pembangkang.
No comments:
Post a Comment