Pejabat Perdana Menteri (PMO) menafikan dakwaan mengadakan siri pertemuan bagi membincangkan isu kerajaan perpaduan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat, PMO menegaskan tiada akan ada sebarang perbincangan sedemikian akan berlangsung selagi Anwar dan pembangkang menolak dan mempertikaikan keputusan pilihan raya umum ke-13.
Beberapa portal berita memetik Anwar telah mengesahkan pertemuan bersama Najib dan bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla.
Kenyataan tersebut berkata laporan memetik ‘sumber yang boleh dipercayai daripada pihak Najib’ hanyalah khayalan serta imaginasi penulis kerana tiada usaha untuk membentuk kerajaan perpaduan.
Laporan itu, menyebut Jusuf sedang berusaha untuk mendapatkan persetujuan Najib dan Anwar untuk tidak menyerang antara satu sama lain dan menerima keputusan pilihan raya.
Ia melaporkan menurut Jusuf, Anwar telah menghubunginya sebelum pilihan raya untuk mendapatkan persetujuan politik bersama Najib bahawa mereka akan menghormati keputusan rakyat, dan cadangan tersebut telah diterima oleh perdana menteri.
Bagaimanapun, Anwar telah enggan berbuat demikian sebaliknya beliau mendakwa berlaku penipuan ketika proses pilihan raya berlangsung, katanya.
Oleh itu, ia berkata kenyataan yang dibuat oleh Anwar juga mengesahkan usaha ke arah membentuk kerajaan perpaduan hanyalah ‘ ciptaan dan rekaan’ yang dibuat oleh pihak pembangkang demi kepentingan politik Anwar.
No comments:
Post a Comment