PAS hari ini menyatakan persetujuan tindakan penarikan semula taraf permastautin tetap (PR) pemilik resort di Kota Tinggi, Johor, yang membenarkan amalan keagamaan Buddha dijalankan di dalam surau miliknya, namun menegah surau berkenaan daripada dirobohkan.
Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, sekiranya pemilik resort berkenaan melanggar syarat yang ditetapkan untuk PR yang diberikan kepadanya itu, Putrajaya dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhak menarik balik taraf PR tersebut.
"Ia hak KDN tarik balik PR mana-mana pihak... kalau dia lakukan sesuatu bercanggah dengan perundangan negara kita, amat wajar," kata Mahfuz ketika sidang media di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur.
"Tetapi saya tidak bersetuju surau berkenaan dirobohkan, cukup kita betulkan arah kiblatnya sahaja," katanya.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu bagaimanapun menegaskan, penganut Buddha yang menjalankan upacara keagamaan di dalam surau berkenaan tidak harus dipersalahkan kerana mereka mendapat keizinan daripada pemilik resort tersebut.
"Hukum pemilik resort, kebenaran daripadanya... kenapa dia izinkan di surau, sedangkan banyak dewan-dewan di resort itu yang boleh digunakan," katanya kepada pemberita.
Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) menyokong tindakan KDN menarik semula PR warga Singapura, Syed Ahmed Salim Alkaff, 45, secara serta merta kerana membenarkan penganut Buddha melakukan meditasi di surau resort miliknya.
Naib Yang Dipertua PERKIM, Datuk Nakhaie Ahmad menyarankan kerajaan mengharamkan pemilik resort di Sedili Besar, Kota Tinggi itu ke negara ini sebagai pengajaran terhadap tindakannya.
Tindakan itu turut disokong Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad kerana menurutnya sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, manakala agama lain boleh diamalkan secara aman, tindakan berkenaan wajar diambil untuk memberi pengajaran.
Sabtu lalu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengatakan kerajaan sudah menarik semula status PR pemilik resort Tanjung Sutera Beach Resort semasa beliau ditahan polis selama empat hari baru-baru ini.
Menteri Dalam Negeri itu menegaskan Putrajaya berhak menarik balik status PR mana-mana individu sekiranya bertindak menyentuh sensitiviti agama seperti pemilik resort surau “meditasi” Buddha di Johor itu.
Tegas Ahmad Zahid, tindakan itu diambil berlandaskan undang-undang dan atas kuasa KDN, serta tidak akan mengeruhkan hubungan dua hala dengan negara jiran Singapura.
Pemilik resort terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan iaitu mencemarkan tempat sembahyang dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan.
Beliau boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.
Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar juga mengarahkan surau itu dirobohkan sebaik siasatan selesai dijalankan.
Sebuah video yang dimuat naik di laman YouTube pada 10 Ogos lalu menunjukkan sekumpulan sami dalam sebuah bangunan kecil melakukan meditasi di hadapan potret Buddha.
Video berdurasi 63 saat itu bertajuk “Cina Buddha sembahyang di surau; surau jadi tokong” dimuat naik oleh “Sebastianphiu” dan ditonton lebih 10,000 kali.
Lokasi kawasan surau turut dinyatakan dalam video berkenaan iaitu di Sedili Besar, Kota Tinggi, Johor.
Pengurus resort itu mempertahankan keputusannya memberi kebenaran kepada penganut Buddha menggunakan surau.
Katanya, surau berkenaan hanya digunakan untuk bermeditasi dan tidak menganggap perkara itu sebagai satu kesalahan.
No comments:
Post a Comment