Tahniah Hishammuddin, takziah UMNO!
Itu antara kata-kata sarkastik yang dikongsi oleh ahli-ahli UMNO di alam maya semalam, sebagai respon terhadap keputusan pemilihan UMNO yang menyaksikan kekalnya tiga penyandang kerusi Naib Presiden parti itu termasuk Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
3 naib presidenPerdebatan sesama ahli UMNO membawa kepada satu justifikasi – barisan kepimpinan yang dipilih tidak mencerminkan suara dan kehendak sebenar akar umbi, sekaligus menimbulkan tanda tanya sama ada UMNO benar-benar mahu melakukan perubahan seperti yang dilaung-laungkan sebelum ini.
Tidak kurang, ada yang menyifatkan keputusan pemilihan tersebut sebagai satu pengkhianatan terhadap suara akar umbi, lebih-lebih lagi ada yang menganggap ia sudah diatur dan dirancang termasuk ‘arahan dari atas’ supaya status quo Naib Presiden dikekalkan.
Secara teori, kesemua luahan ini mencerminkan keinginan akar umbi terutamanya generasi muda UMNO untuk melihat wajah segar dalam UMNO. Mereka mahukan pemimpin jagoan yang mempunyai track record serta keteguhan jati diri Melayu bagi mendepani pelbagai bentuk ancaman yang mengasak kaum itu kebelakangan ini.
Kelantangan Ahmad Zahid serta konsistensinya dalam memperjuangkan agenda Melayu menjadikan beliau Naib Presiden paling popular. Kemenangan Shafie pula mencerminkan kefahaman perwakilan betapa parti itu perlu mempunyai wakil dari Sabah – negeri ‘deposit’ tetap Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya.
Namun, kemenangan Hishammuddin mencetuskan polemik di sebalik wujud dakwaan ada arahan dari pucuk pimpinan supaya beliau dikekalkan sekaligus mengetepikan seorang lagi calon popular, Datuk Seri Mukhriz Mahathir. Hishammuddin akhirnya mengekalkan jawatan dengan hanya kelebihan tujuh undi bahagian berbanding Mukhriz.
Hishammuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Semberong, Johor memperolehi 101 undi berbanding 93 untuk Mukhriz. Untuk rekod, hanya dua daripada 26 bahagian di Johor memberi undi kepada Mukhriz manakala difahamkan tiada satu pun daripada 14 bahagian di Pahang – negeri kelahiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi undi kepada Mukhriz.
Undi popular dari keseluruhan perwakilah juga dikatakan jauh memihak kepada Mukhriz berbanding Hishammuddin. mukhriz hishammuddin
“Mungkin tidak dapat dibuktikan wujud arahan tentukan barisan Naib Presiden, tetapi pola pengundian terutamanya dari Johor dan Pahang seolah-olah menggambarkan perkara itu memang berlaku,” kata seorang aktivis UMNO.
Realitinya, kemenangan Hishammuddin mengundang kritikan tajam dari ahli-ahli UMNO sendiri. Sejak tirai pertandingan dibuka, ramai yang mempersoal dan memperkecilkan kebolehannya sebagai pemimpin.
Rekod buruknya sebagai menteri terutamanya ketika menerajui Kementerian Dalam Negeri (KDN) sehingga digelar menteri ‘lembik’ serta peristiwa beliau meminta maaf kepada komuniti Cina dalam insiden mencium keris – semuanya menjadikan beliau sebagai calon tidak popular.
Lantas, senario ini membawa kepada persoalan penting. Kalau benar ada arahan untuk tentukan senarai barisan tertinggi, apa guna ada pertandingan? Apa perlunya perlembagaan diubah untuk beri ruang lebih luas kepada perwakilan, tetapi akhirnya suara dan kehendak mereka dikhianati?
Pastinya, golongan muda sama ada dari dalam atau luar UMNO adalah yang paling kecewa dengan keputusan pemilihan kali ini. Transformasi politik yang menjanjikan peluang diberi kepada wajah-wajah yang lebih segar dan dinamik nampaknya hanya tinggal retorik kosong.
Senarai barisan Majlis Tertinggi (MT) UMNO turut mencerminkan hakikat itu. Walaupun ada pemimpin berstatus senior yang dikekalkan atas sebab pengaruh, track record, merit dan imej yang baik, tetapi malangnya pemimpin yang mempunyai rekod buruk sebagai menteri, terpalit dengan skandal rasuah, malah ada yang sudah terbukti ditolak rakyat pada pilihan raya lalu, masih lagi terpiliih.
Inikah jelmaan transformasi yang mahu diangkat oleh UMNO menjelang PRU-14 tidak lama lagi?
Namun, bagi golongan dalam UMNO yang bersikap optimistik, mereka masih mahu berpegang kepada pegangan bahawa “apa juga berlaku, akhirnya UMNO sebagai parti yang jadi taruhan, bukan individu”. Pendek kata bagi mereka, kemenangan Hishammuddin bukanlah satu pengakhiran, begitu juga dengan kekalahan Mukhriz.
“Kalau ada ‘wahyu’ sekalipun untuk tentukan pimpinan Naib Presiden, semua perwakilan sudah tunjuk siapa yang mereka mahu. Lihat sahaja jumlah undi yang diperolehi Mukhriz, beliau dapat undi majoriti. Ia menunjukkan majoriti perwakilan tidak ikut ‘wahyu’, anggap sahaja begitu realitinya,” kata seorang bekas Exco Pemuda UMNO yang dihubungi.
Menghimbau sejarah politik UMNO, pemimpin seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menjadi musuh UMNO juga pernah berada di puncak kepimpinan parti itu. Tan Sri Muhamad Mohd Taib dahulu juga pernah mengisi jawatan Naib Presiden UMNO, tetapi kini beliau memilih untuk menjadi seteru UMNO. Pemimpin datang dan pergi, tetapi UMNO masih mewarnai susur galur politik Malaysia.
Waima apa reaksi terhadap keputusan pemilihan UMNO, itulah kehendak majoriti perwakilannya. Semua pihak termasuk pemimpin dan ahli UMNO tidak punya pilihan selain mengakui bahawa itulah barisan yang akan mengepalai parti itu sekurang-kurangnya hingga PRU-14 nanti.
Soalnya, adakah rakyat terutamanya orang Melayu di luar UMNO bersedia menerima ‘wajah transformasi’ yang diangkat pada pemilihan kali ini? Juga, sejauh mana barisan baru ini mampu memikul beban bagi mendepani ranjau serta cabaran getir pada PRU-14 nanti?
Hanya masa akan menentukan. – New Malaysian Post
No comments:
Post a Comment