Tuesday, 8 October 2013

TPPA: Amerika Syarikat perlu hormati pendirian Malaysia - CASSA

SHAH ALAM:Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) meminta Amerika Syarikat menghormati pendirian Malaysia sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak enggan menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) sebelum akhir tahun ini.

Presidennya, Datuk Dr Jacob George berkata Amerika Syarikat sepatutnya tidak menaruh harapan untuk Malaysia menandatangani TPPA jika isi kandungan perjanjiannya sendiri tidak memberi manfaat kepada rakyat keseluruhannya di negara ini.

"Pada pendapat saya Amerika Syarikat tidak ada apa-apa kuasa untuk memerintah atau menyuruh mana-mana negeri ini untuk mengambil satu-satu tindakan yang menjaga hak dan pelindungan Amerika Syarikat.

"Apa yang mustahil untuk kita ialah untuk mengetahui perkara ini secara terperinci dan melihat bagaimana TPPA dapat menolong kita jika TPPA yang ditandatangani itu boleh mendapat lebih banyak sokongan dan perkhidmatan sebagainya, positif untuk negara dan masyarakat kita, untuk perkembangan dan sebagainya, boleh tandatangani," katanya kepada Antarapos.

Amerika Syarikat semalam mengekalkan harapannya untuk Malaysia menandatangani TPPA mengikut jadual sebelum akhir tahun ini, walaupun dibantah oleh beberapa negara dan ketidakhadiran Presiden Barack Obama di sidang puncak serantau di sini untuk menyelesaikan isu-isu dalam perjanjian itu.

Wakil Perdagangan AS, Michael Forman berkata menteri-menteri perdagangan dunia mungkin membincangkan TPPA yang dicadangkan oleh Amerika di luar mesyuarat Pertubuhan Dagangan Dunia yang bermula pada 3 Disember, dengan matlamat mencapai persetujuan sebelum akhir tahun.

Bagaimanapun tindakan Amerika Syarikat itu tidak dipersetujui oleh Jacob dan meminta Amerika Syarikat dan Malaysia mengadakan perbincangan dua hala secara terperinci dan tidak melindungi sebarang kandungan perjanjian.

"Tetapi sebelum itu saya hendak tengok apa kandungan dalam perjanjian itu, adakah perjanjian itu akan memberikan satu ruang kepada semua pihak untuk negeri-negeri yang membangun di Malaysia?

"Tetapi untuk menetapkan satu-satu masa atau untuk memberi satu-satu tekanan yang begitu dasyat itu tidak boleh diterima lagi sebab masa ini kita bukan lagi dijajah oleh sesiapa, pada masa ini kita hendak bincang semua isu sebagai rakan dan bukan sebagai hamba," katanya.

Perbincangan TPPA yang sudah masuk tahun ketiga dan kini membabitkan 12 negara, bertujuan mewujudkan blok perdagangan bebas yang merentang dari Vietnam ke Chile ke Jepun, merangkumi 800 juta penduduk, satu pertiga perdagangan dunia dan hampir 40 peratus ekonomi global, lapor Reuters.

Sasaran utama pentadbiran Obama, TPPA akan meruntuhkan halangan perdagangan dalam bidang seperti perolehan kerajaan dan menetapkan standard untuk hak pekerja, perlindungan alam sekitar dan hak harta intelek.

Sumber: http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcZNfaw==

No comments:

Post a Comment