KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ibarat 'Godfather' kepada PAS Kelantan, kata Ahli Parlimen Kota Bahru, Datuk Takiyuddin Hassan.
Malah katanya, tunjuk ajar Nik Aziz yang berpengalaman luas dalam pentadbiran Kelantan amat diperlukan pimpinan PAS Kelantan agar kesinambungan pengurusan kerajaan negeri dapat diteruskan.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan pimpinan PAS Kelantan sebelum ini dilaporkan masih merujuk kepada Nik Aziz dalam urusan pentadbiran.
"Nik Aziz itu macam 'godfather' atau sifu pada kita. Tak semestinya bila MB baru ikut nampak seperti dia takut untuk buat keputusan sendiri. Ia tak timbul.
"Walaupun Kelantan mempunyai seorang MB yang baru selepas PRU-13, yang jelasnya kita meneruskan dasar-dasar yang telah dibuat sejak 23 tahun yang lalu, yang mana MB pada masa itu adalah Nik Aziz. Tidak timbul langsung apabila ada MB baru jadi ada dasar baru dibuat.
"Oleh sebab itu penerusan dasar-dasar itu dibuat dengan jelas sekali, tidak ada apa-apa perubahan yang drastik. Kecuali jika ada pun mungkin cara pendekatan, setiap orang ada caranya tersendiri. Pokoknya dasarnya tetap sama," katanya ketika ditemui di lobi parlimen, hari ini.
Takiyuddin turut menolak dakwaan bahawa tindakan Ahmad mendapatkan rujukan daripada Nik Aziz membayangkan beliau seorang pemimpin yang lemah.
"Persoalan 'rujuk' itu tak timbul sebab di dalam parti Nik Aziz masih Pesuruhjaya PAS Kelantan. Di peringkat Malaysia, dia adalah Mursyidul Am. Soal rujukan sama ada dalam dasar parti atau kerajaan adalah perkara yang biasa. Mengikut pengalaman saya sebagai exco Kelantan, setiap minggu kita ada mesyuarat yang dipengerusikan Pesuruhjaya iaitu Nik Aziz.
"Rujuk, tiada masalah pada saya. Tak semestinya sesiapa yang membuat rujukan itu melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Tak semestinya bila kita buat rujukan itu kita ikut. Kadangkala ia dipanggil sebagai pendapat kedua. Nik Aziz menjadi MB selama 23 tahun, lebih berpengalaman dan ada idea tersendiri. Tapi saya percaya beliau boleh mendapat rujukan dengan sesiapa tapi tak semestinya beliau terikat dengan rujukan itu," demikian menurut beliau.
Ahmad dilantik sebagai Menteri Besar yang baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) Mei lalu, menggantikan Nik Aziz yang melepaskan jawatannya setelah PAS memerintah Kelantan semenjak 1990.
No comments:
Post a Comment