Sikap kuku besi pemimpin DAP pusat terutama Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng merupakan punca mendorong Pengerusi DAP Melaka Goh Leong San meletak jawatan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata peletakan jawatan Goh itu sememangnya telah dijangka kerana Lim dan pemimpin DAP pusat lain sering masuk campur urusan DAP di negeri ini sekaligus menyukarkan Goh menjadi seorang ketua pembangkang yang berkesan di Melaka.
Beliau berkata sikap kuku besi itu menyebabkan DAP Melaka berpecah dua, satu pihak menyokong kepimpinan DAP pusat manakala satu pihak setia dengan DAP Melaka di bawah kepimpinan Goh.
"DAP Melaka bagaikan retak meniti belah, sudah beberapa tahun dulu kita tahu DAP Melaka menghadapi perpecahan kerana sikap kuku besi Lim yang langsung tidak tahu menghormati pemimpin DAP Melaka," katanya kepada pemberita selepas majlis pengenalan calon Umno di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, semalam.
Goh telah menyerahkan surat peletakan jawatan itu kepada Speaker DUN Melaka Datuk Othman Muhamad pada pukul 12 tengah hari. Bagaimanapun beliau enggan menjelaskan sebab beliau berbuat demikian.
Sebuah akhbar berbahasa Inggeris sebelum ini melaporkan Goh mendakwa terdapat campur tangan pemimpin pusat parti itu dalam urusan DAP Melaka, menyebabkan berlaku perpecahan dalam kalangan pemimpin dan anggota DAP di negeri ini.
Mohd Ali berkata adalah tidak relevan bagi Goh kekal sebagai Pengerusi DAP Melaka berikutan perkembangan ini dan menasihatkan beliau mencari landasan perjuangan lain antaranya sebagai seorang anggota DUN babas.
Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron berkata ciri-ciri yang ada pada Goh sebenarnya tidak sesuai dengan parti DAP yang sering beremosi, tidak rasional dan mengamalkan sikap perkauman.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka berkata Goh merupakan seorang pemimpin yang berbahas dengan rasional berdasarkan fakta dan angka, berbeza dengan anggota DUN Melaka daripada DAP yang lain di negeri ini.
Katanya adalah suatu yang menyedihkan kepada pihak pembangkang di Melaka dan DUN Melaka kerana kehilangan seorang ketua pembangkang seperti Goh yang mampu membincangkan masalah rakyat dalam sidang DUN secara 'gentleman'.
"Seorang yang berperanan baik seperti ini meletak jawatan atas desakan pimpinan pusat DAP, daripada sini kita lihat DAP sebuah parti korup, pentingkan semangat perkauman tinggi menebal dan tidak ambil kira hati masyarakat majmuk di negara ini," katanya - Bernama
lagi atrikel berkaitan sikap kukubesi LGE
1) http://azwanbro.com/tanda-putera-apa-agenda-dap-pulau-pinang/
2) http://jkkk-kotasarangsemut.blogspot.com/2013/08/kalau-dap-tunjuk-kuasa-di-pulau.html
3) https://www.google.com/#q=kukubesi+Lim+guan+eng+di+pulau+pinang
No comments:
Post a Comment