Wednesday, 23 October 2013

Pegawai bank dihubungi suami sebelum ditembak

SUBANG JAYA: Suami kepada pegawai operasi bank, Norazita Abu Talib, 37, yang maut ditembak pengawal keselamatan bank berkenaan difahamkan baru beberapa minit menghubungi mangsa sebelum kejadian tembakan itu berlaku.

Difahamkan suami mangsa yang dikenali sebagai Wan itu menghubungi isterinya itu ketika hujan lebat pukul 6 petang.

Anak saudara mangsa, Mohd. Fakri Azad M. Azhar Syawal, 22, berkata, bapa saudaranya itu menghubungi telefon bimbit mangsa supaya isterinya berhati-hati memandu dalam hujan lebat.

"Ketika panggilan pertama Pakcik Wan sempat bercakap dengannya dan mengingatkannya supaya berhati-hati kerana hujan amat lebat petang tadi dan makcik saya ini pula seorang yang rabun.

"Selepas itu, Pakcik Wan menghubungi makcik saya sekali lagi namun panggilan tidak berangkat. Kemudian saya diberitahu pihak bank menghubungi pakcik saya selepas itu lalu menyuruh dia ke premis itu dengan segera.

"Mereka tidak memberitahu perkara sebenar dan hanya menyuruh pakcik saya datang dan melihat sendiri keadaan makcik saya," katanya dipetik Utusan Malaysia.

Tambahnya, mangsa meninggalkan sepasang cahaya mata iaitu seorang perempuan berusia 10 tahun dan lelaki berusia 7 tahun.

No comments:

Post a Comment