Benarkah Pas mempunyai peluang yang cerah untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu pada 4 November depan?
Apa sekalipun, penamaan calon bagi PRK DUN Sungai Limau akan diadakan kira-kira dua minggu akan datang.
Sehingga kini, kedua-dua parti, Barisan Nasional (BN) dan Pas sudah giat memperkemaskan jentera masing-masing untuk berdepan PRK pertama di negeri ‘Hijau Kuning’ itu selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Bagi Menteri Besar Kedah, Datuk Mukriz Mahathir ia adalah cabaran pertamanya dalam menghadapi PRK, begitu juga Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Mahfuz Omar. Kedua-dua mereka mengakui PRK ini merupakan satu cabaran besar untuk mereka memandangkan ia bakal memberi makna tersendiri.
Jika dilihat pada sejarah, DUN Sungai Limau tidak pernah ditawan BN sejak 1995 lagi. Sejak lima penggal lepas, kerusi tersebut dimenangi oleh Pas dengan calon yang amat digeruni lawan, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak atau lebih mesra dipanggil Ustaz Azizan semasa hayatnya.
Namun Pas yang juga rakan kepada Pakatan Rakyat harus sedar dan ingat, sebelum ini mereka boleh menegakkan bendera ‘bulan’ di DUN berkenaan adalah kerana aura arwah Ustaz Azizan itu sendiri selain bergantung kepada pengundi luar serta bukan Melayu.
Pas diharap jangan terlampau ghairah untuk menang di kubu kuatnya itu walaupun Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembangkang akan memainkan isu kenaikan harga barang, minyak dan laporan audit yang mendedahkan penyelewengan kementerian, yang dilihat akan memberikan kelebihan kepada PR untuk pertahankan kerusi itu.
Ini kerana isu nasional yang bakal dihadapi Pas bersama Pakatan Rakyat hujung 2013 nanti lebih penting. Pemilihan Pas pada hujung tahun ini bakal menentukan hala tuju politiknya dalam Pakatan Rakyat selepas ini. Pas kena sedar bahawa parti itu berada di tengah-tengah sekarang ini antara Pakatan Rakyat dan UMNO.
Kekalahan beberapa orang dalam Pas pada PRU-13 yang lalu seperti Mohamad Sabu, Dzulkefly Ahmad, Salahuddin Ayub dan Husam Musa dijangka menyukarkan golongan pro dalam gabungan Pakatan Rakyat. Di samping itu, kemenangan Nasrudin Tantawi, Nik Abduh dan sebagainya, dilihat menyukarkan transformasi Pas untuk mentafsir perjuangan Islam yang diwarisi sejak dahulu dalam perspektif yang lebih terbuka pada alaf ke-21.
Masalah Pas ini sudah melangkaui tokoh dalam parti itu sendiri seperti Tuan Guru Hadi Awang, Tok Guru Nik Aziz, Ustaz Haron Din dan sebagainya. Kuncinya, bagaimana Pas berdepan dengan cabaran kini dan masa depan?
Melihat kepada isu agama dan gender, sejauh manakah penerimaan pemimpin Pas untuk menerapkan unsur hak asasi manusia dalam pendirian politiknya? Isu murtad, LGBT, hukum hudud, sekular, hak wanita padahal paling meruncing untuk menguji sejauh manakah asas persemuafakatan dalam kalangan Pakatan. Ini bakal menyaksikan perbezaan pandangan yang ketara antara Pas, PKR dan DAP, malah dalam Pas sendiri.
Berdasarkan pelbagai persoalan dan isu yang tak pernah selesai itu, adakah Pas dapat bertahan dalam Pakatan Rakyat atau selama mana ia mampu bertahan dalam keadaan?
Selain itu Pas juga berdepan dengan isu Syiah yang boleh memberi kesan terhadap kradebilitinya. Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu kini sering ditekan dengan label ‘Syiah’, dan isu ini menjadi dilema dalam Pas.
Bagi BN pula, jangan mengambil remeh melalui PRK ini dengan berserah ‘ini kubu kuat Pas’. Mukhriz pernah berkata bahawa jika calon BN yang diwakili oleh UMNO berjaya merampas kerusi DUN Sungai Limau, ia merupakan satu kejayaan besar.
Beliau mengakui bahawa dalam PRK ini, BN adalah ‘underdog’. Oleh itu BN perlu berusaha lebih kuat untuk meyakinkan pengundi supaya memberi mandat semula kepada parti itu di Sungai Limau.
Tetapi BN Kedah janganlah terlalu selesa dengan kata-kata Tun Dr Mahathir Mohamad - "Dulu dia (Tan Sri Azizan) tak kempen pun tapi dia menang, kerana personaliti. Orang sokong dia kerana personaliti dia, bukan parti. Sekarang mungkin orang nak tukar selera."
Bagi PRK kali ini di DUN Sungai Limau mudah dikatakan, ‘Pas menang itu sudah biasa, BN menang luar biasa’. Pas yakin menang kerana Sungai Limau merupakan kubu kuat mereka sejak 18 tahun lalu. BN pula yakin dapat merampas kerusi DUN itu sebagaimana parti itu berjaya mengembalikan kerajaan negeri kepada BN. Sekiranya kejayaan BN itu menjadi kenyataan ia disebabkan kelemahan dan perpecahan dalaman Pas itu sendiri serta ketiadaan aura arwah Ustaz Azizan.
Sumber: http://www.mysuara.net/index.php/berita/3318-prk-sungai-limau-pas-jangan-rasa-mudah-bn-jangan-mengalah
No comments:
Post a Comment